Sambutan Misteri Dilaila

Kutipan

Dalam tempoh lima hari selepas tayangan perdana rasmi, Misteri Dilaila berjaya meraih kutipan pecah panggung kasar sebanyak RM4 juta.[6][22] Sehingga 6 Mac 2019, filem ini memungut kutipan sebanyak RM8.8 juta selepas 11 hari tayangan.[23][24]

Ulasan kritis

Misteri Dilaila mendapat ulasan positif dari pengkritik filem. Yuzir Harafi dari Astro Awani memuji skrip dan lakonan filem ini dan berkata: "Secara keseluruhannya, filem ini boleh dimasukkan ke dalam carta ‘Filem Tempatan Wajib Tonton 2019’ kerana nilai dan kualiti filem ini adalah lain daripada yang lain.".[25] Jessica Chua dari Rojak Daily pula berkata: "Secara keseluruhan, saya cadangkan untuk tidak melihat Misteri Dilaila terlalu serius. Jika anda berbuat demikian, anda mungkin tidak menikmati apa yang filem itu cuba menawarkan, yang merupakan hiburan tulen."[26] Shazryn Mohd Faizal dari mStar Online melihat filem ini sebagai eksperimentasi Syafiq yang mempunyai terdapat kelemahan, beliau berkata dalam ulasannya: "pastinya Misteri Dilaila menjadi sebutan ramai kerana pembaharuan yang ditampilkan dalam sinema tempatan dengan memperkenalkan dua versi pengakhiran ceritanya".[27]

Menulis untuk The Sun Daily, Bissme S. berkata: "Diinspirasikan bukan satu jenayah tetapi menafikan di mana anda mendapat inspirasi anda. Ia meninggalkan rasa pahit di mulut penonton apabila tiada kredit diberikan di mana ia perlu."[28] Suka Filem pula menyifatkan versi kedua Misteri Dilaila "mempunyai penamat yang agak abstrak. Penonton perlu perah otak sedikit untuk mencantumkan beberapa misteri di akhir filem ini. Tidak seperti versi pertama, versi kedua ini lebih kepada penamat yang memerlukan diskusi lanjut di kedai kopi selepas penontonan. Apapun, versi ini memang ada kekurangan, namun masih berjaya ditampung".[29]

Dua penamat berbeza

Buat pertama kali dalam sejarah filem Malaysia, ia telah dilaporkan bahawa Misteri Dilaila memiliki dua penamat cerita yang berbeza.[30] Menurut Syafiq, beliau sengaja menghasilkan dua pengakhiran berbeza kerana konsep ini belum pernah dibuat dalam mana-mana filem Malaysia. Beliau dipetik sebagai berkata: "Secara rasminya saya umumkan kepada semua bahawa sememangnya filem ini dibuat khas dengan dua pengakhiran berbeza. Konsep sebegini belum pernah lagi ditampilkan di dalam industri filem Malaysia. Di samping itu, genre misteri thriller menjadi pilihan utama saya untuk muncul dengan konsep ini kerana ia memberi peluang untuk saya mengembangkan jalan cerita dan karakter dengan lebih dramatik dan kreatif."[31] Syafiq menjelaskan bahawa sebab beliau menghasilkan dua penamat ialah "bukan untuk membuat keuntungan" namun bagi menghiburkan penonton.[32][33]

Rujukan

WikiPedia: Misteri Dilaila http://www.astroawani.com/berita-hiburan/misteri-d... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/misteri-d... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/misteri-d... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/rupa-rupa... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/misteri-... http://www.astroawani.com/video-hiburan/misteri-di... http://www.gempak.com/artikel/15632/misteri-dilail... http://www.gempak.com/artikel/16019/misteri-dilail... http://www.imdb.com/title/tt9820594/ http://www.rojakdaily.com/entertainment/article/62...